PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan secara langsung pendirian Malaysia berhubung tragedi MH17 kepada Presiden Russia, Vladimir Putin dalam pertemuan rasmi yang berlangsung di Kremlin semalam.
Anwar berkata, Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan berhubung tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines itu perlu ditegakkan secara adil dan menyeluruh.
“Dalam semangat keterbukaan dan saling menghormati, saya turut membawa suara rakyat Malaysia berhubung tragedi MH17.
“Saya bangkitkan perkara ini secara terus kepada Presiden Putin. Malaysia kekal berpendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus ditegakkan secara adil dan menyeluruh,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar menjelaskan, kedua-dua pemimpin berbincang secara menyeluruh mengenai pelbagai aspek kerjasama dua hala termasuk perdagangan, pendidikan, teknologi digital, pertahanan, keselamatan siber dan pertukaran pelajar.
Malaysia, katanya, menyambut baik usaha memperluas dagangan dua hala serta pelaburan baharu dari Russia, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
“Saya turut mengangkat potensi besar hubungan antara rakyat termasuk pertukaran pelajar, biasiswa, pengembangan program pengajian Melayu, serta kerjasama TVET (Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dan sains teknologi,” ujarnya.
Bagi memperkukuh keterhubungan, Perdana Menteri turut mencadangkan agar syarikat penerbangan Russia seperti Aeroflot menyambung semula laluan terus ke Malaysia bagi merancakkan sektor pelancongan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.
“Russia bukan sekadar sebuah kuasa besar, tetapi sebuah peradaban yang kaya dengan sejarah perjuangan, budaya, sastera dan seni. Kekaguman saya terhadap Russia lahir bukan hanya dari hubungan diplomatik, tetapi daripada pemahaman terhadap ketabahan rakyatnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendirian konsisten Malaysia dan ASEAN dalam menangani isu geopolitik global, iaitu menolak tindakan unilateral dan terus berpegang kepada kepusatan ASEAN.
Menurutnya, prinsip kedaulatan, integriti wilayah dan penyelesaian secara aman merupakan asas kepada dasar luar negara.
“Saya nyatakan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan yang berprinsip dalam kerangka multilateralisme.
“ASEAN dan negara-negara Selatan Global perlu diberi ruang untuk menentukan hala tuju sendiri, tanpa dipaksa untuk memihak dalam persaingan kuasa besar,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan atas sokongan Russia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dan menyatakan keyakinan bahawa kerjasama itu akan membuka laluan baharu kepada pembangunan yang lebih adil serta seimbang.
Di akhir pertemuan, beliau turut menjemput Presiden Putin untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, sama ada dalam masa terdekat atau sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung Oktober ini.
“Kehadiran beliau akan menjadi pemangkin penting ke arah hubungan dua hala dan kerjasama serantau yang lebih utuh,” katanya. – https://amiminerals.org/