KLUANG – Seorang anggota tentera yang bertugas di Kem Mahkota di sini maut selepas kereta dipandunya terbabas dan masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 72, Jalan Batu Pahat-Mersing, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 4.25 petang itu melibatkan kereta Proton Saga FL dipandu mangsa dengan treler jenis Isuzu.
“Hasil siasatan awal didapati kereta itu dari arah Kluang menghala ke Kahang manakala treler dari arah bertentangan.
“Sampai di tempat kejadian, kereta telah hilang kawalan dan masuk ke laluan treler serta melintang di atas laluan treler. Treler yang tidak sempat mengelak telah melanggar kereta mangsa,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, akibat pelanggaran yang berlaku, pemandu kereta, Mohd Shahruddin A Rahim,39, cedera parah di muka dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Ujarnya,pemandu treler, Rohani Rahim berumur 40 tahun cedera ringan di muka dan dada serta sedang mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
“Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya. – https://amiminerals.org/