Anggota polis putus telinga digigit warga asing

polis logo polis

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis peronda (MPV) putus telinga kiri selepas digigit lelaki warga Nigeria yang bertindak agresif ketika ditahan di Jalan Kepong, Metro Prima di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.03 pagi ketika koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul itu cuba membantu menahan suspek yang mengganggu sebuah klinik.

“Sewaktu anggota polis cuba memasukkan suspek ke dalam MPV melalui pintu belakang, warga asing itu yang dalam keadaan bergari secara tiba-tiba menggigit telinga kiri mangsa hingga terputus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, anggota polis terbabit dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan, manakala suspek berjaya ditahan di tempat kejadian.

Tambahnya, suspek berusia 38 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tinggal lebih masa di negara ini. – https://amiminerals.org/