JASIN – Luluh hati seorang ibu melihat anak yang dahulunya aktif dan petah bercakap kini terlantar di atas katil selepas terlibat dalam nahas ketika sedang berjalan kaki ke sebuah masjid di Merlimau di sini pada 2018.
Alimah Rahim, 45, berkata, dia sangat merindui suara Muhammad Fakrullah Saiful Azli, 13, memanggilnya ibu selepas kali terakhir mendengarnya enam tahun lalu.
Katanya, anak keempat daripada lima beradik itu merupakan seorang yang ceria dan rajin mengikut suaminya, Saiful Azli Ramli, 47, menunaikan solat di surau.
“Bagaimanapun pada hari kejadian suami tidak pergi ke surau kerana baru pulang dari kerja. Jadi, anak saya pergi sendiri ke masjid yang terletak di kira-kira 200 meter dari rumah untuk solat maghrib.
“Dia pergi tanpa memaklumkan kepada saya walaupun sebelum itu sudah pesan berulang kali agar tidak ke mana-mana, malangnya tidak lama kemudian jiran memaklumkan anak saya terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal,” katanya ketika ditemui di Taman Jasin Bestari di sini baru-baru ini.
Menurut Alimah, seminggu sebelum kejadian, dia merasa tidak sedap hati dan seolah-olah mendapat bayangan dia akan kemalangan.
Tambahnya, apa yang ditakuti berlaku juga menyebabkan saya hampir pitam mendengar berita tersebut.
“Akibat kemalangan itu Muhammad Fakrullah mengalami kerosakan saraf pada bahagian otak menyebabkan pergerakannya terbatas,” katanya.
Menurutnya, Muhammad Fakrullah memahami interaksi orang di sekeliling tetapi tidak mampu bercakap susulan bahagian bawah tekaknya ditebuk untuk pernafasan.
“Anak saya tidak boleh makan makanan pejal dan bergantung kepada susu khas. Dia juga perlu menjalani rawatan berkala di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Jasin, Hospital Terendak dan Klinik Kesihatan Merlimau,” katanya.
Ujar Alimah, dia bersyukur kerana menerima bantuan susu dan wang tunai RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun masih tidak mencukupi.
“Saya perlu sediakan lebih RM1,000 sebulan untuk perbelanjaan penjagaan serta kos rawatan,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Alimah di 154053633029 atau menghubungi Alimah di talian 010-368 8192.