TANAH MERAH – Cubaan seorang pemandu untuk menghantar sebanyak 290 anak pokok orkid bernilai RM580,000 tidak kesampaian selepas lori yang dipandunya ditahan semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, di sini semalam.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semasa anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kenderaan itu dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa anggota PGA menjalankan operasi di kawasan tersebut
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu kemudian menjumpai kotak-kotak yang berisi sebanyak 290 pelbagai jenis anak pokok orkid yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Pemandu lori itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkait kesemua pokok orkid yang dianggarkan bernilai RM580,000.
“Siasatan mendapati, suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup tumbuhan tersebut ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barang rampasan dibawa ke kompeni taktikal Taman Bakti di sini untuk tindakan lanjut
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5. – https://amiminerals.org/