RANTAU PANJANG – Seorang pemandu lori tidak sempat menghantar sebanyak 15,500 anak pokok bunga ixora atau jejarum dan buluh kuning bernilai RM4.57 juta selepas kenderaan dipandunya ditahan di Jalan Panglima Bayu dekat Kampung Limau Purut di sini kelmarin.
Rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 7 malam ketika anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan sebuah lori yang sedang melalui kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, lori itu dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa anggota PGA menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di sini.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap lori dipandu lelaki berusia 53 tahun itu kemudian menjumpai 15,000 anak pokok bunga ixora dan 500 batang buluh kuning yang dianggarkan bernilai RM4.57 juta.
“Rampasan pokok bunga itu masing-masing melibatkan sebanyak 5,000 anak pokok ixora merah jambu, ixora merah dan ixora putih.
“Kesemua anak pokok itu dipercayai diseludup dari Thailand apabila tiada sebarang dokumen yang sah selepas pemeriksaan dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ros Azhan memberitahu, siasatan awal mendapati, pemandu lori itu dipercayai berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup tumbuhan tersebut ke pasaran tempatan.
Menurutnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke kompeni taktikal Taman Bakti di sini untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5. – https://amiminerals.org/