YAN – Lebih 100 pesawah yang menyertai Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) MADA 2, T17 dalam Kawasan Dulang Besar, di sini resah apabila tanaman padi mereka berisiko musnah setelah terendam banjir sejak Jumaat lalu.
Kejadian banjir itu dipercayai berlaku selepas Sungai Dulang Besar yang terlibat dengan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) menjadi sempit sehingga air melimpah ke sawah.
Pesawah, Romli Hashim, 64, berkata, sawah seluas kira-kira 2.5 hektar diusahakannya ditenggelami air lebih setengah meter.
“Anak padi yang baru berusia tujuh hari ditenggelami air bercampur lumpur. Berdasarkan cuaca sekarang kemungkinan akan hujan lagi dan menambah limpahan air. Tanaman ini berisiko tinggi untuk mati jika terendam dalam masa lebih lama,” katanya di sini semalam.
Katanya, bagi musim penanaman yang lalu, dia memperoleh pendapatan agak lumayan sehingga mencecah RM5,000 sehektar.
“Musim ini belum tahu bagaimana kerana keadaan cuaca masih tidak menentu,” ujarnya.
Seorang lagi pesawah, Bashah Din, 69, berkata, pokok padi yang baru tumbuh perlu pengawasan rapi serta tidak boleh terendam air dalam tempoh lama.
“Jika keadaan ini berlarutan kami perlu mengulangi semula proses menanam. Kos akan bertambah seperti upah membajak semula petak sawah, menabur, membeli benih dan meracun.
“Sudah tentu secara langsung akan menjejaskan pendapatan kami. Pada musim lalu hasil tuaian di sini agak tinggi,” jelasnya.
Dakwa Mehat Saman, 68, yang mengusahakan sawah seluas kira-kira lima hektar, limpahan air yang menenggelamkan sawah itu juga mengandungi air beracun.
“Sekarang merupakan musim meracun dan kelewatan air mengalir akibatkan pokok padi kami mati kerana lama ditenggelami air beracun,” katanya.
Sehubungan itu, mereka meminta pihak berkuasa terutama MADA dan Unit Peladang Kawasan Dulang Besar mencari jalan untuk membolehkan air Sungai Dulang Besar mengalir ke laut dengan cepat dan tidak lagi melimpah masuk ke petak sawah. -https://amiminerals.org/