Anak menangis kuat lepas kereta dihempap pokok

2nd lead

Faradiana menunjukkan cermin keretanya yang retak akibat dihempap pokok tumbang di Lipis semalam.

LIPIS – Seorang pembantu pe­rawatan kesihatan berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Myvi dipandunya dihempap pokok yang tumbang di Jalan Pekeliling berhampiran Sekolah Kebangsaan Clifford di sini semalam.

Faradiana Abd Latif, 40, berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika dia dalam perjalanan menghantar tiga anaknya berusia antara dua hingga 11 tahun ke sekolah dan ke rumah pengasuh.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman kuat dari atas bumbung kereta selain cermin hadapan pecah serta cermin sisi patah.

“Kejadian tersebut juga menyebabkan sebuah kereta jenis Naza Citra yang datang dari arah bertentangan juga tidak sempat mengelak dan melanggar pokok tumbang berkenaan,” katanya.

Faradiana berkata, dia bersyukur kerana kesemua anak-anaknya selamat dan tidak mengalami kecederaan.

“Anak bongsu saya menangis kerana terkejut. Saya anggap ia sebagai dugaan daripada Allah SWT,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap ada pihak yang selenggara dan menebang pokok tua di kawasan itu khususnya supaya kejadian sama tidak berulang terutama ketika musim tengkujuh dan angin kencang.