BEIJING – Seorang lelaki berusia 31 tahun menjadi sensasi internet kerana menjual harta untuk mengembara ke seluruh China bersama ibunya yang lumpuh, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Dia mengembara sambil menggendong ibunya di belakang, sama seperti yang pernah dilakukan wanita berkenaan ketika dia masih kanak-kanak.
Lelaki bernama Xiao Ma itu berkata, ibunya tidak dapat berjalan, manakala bapanya meninggal dunia dalam satu kemalangan semasa dia berumur lapan tahun.
“Saya dan kakak terpaksa berdikari dan menjaga ibu yang disahkan menghidap atrodi serebrum akibat kemalangan itu.
“Saya bekerja di sebuah ladang memetik kapas selain menjadi perantis dalam pelbagai bidang dan membuka restoran di Xinjiang,” kata Xiao Ma.
Kerja keras itu membuahkan hasil apabila ibunya dapat bergerak daripada katil untuk duduk di atas kerusi roda, malah mengambil beberapa langkah kecil.
Namun, dia mendapati penyakit ibunya bukan sahaja tidak dapat diubati tetapi merebak dengan pantas, menyebabkan dia nekad memanfaatkan masa masih ada bersama ibunya sebaik mungkin.
Daripada menumpukan perhatian pada perniagaan, Xiao Ma memutuskan untuk menjual rumah dan kereta supaya dia boleh membawa ibunya bersiar-siar di seluruh China.
Antara tempat yang mereka lawati adalah Gunung Tianshan, Tasik Tianchi, Xinjiang, Dataran Tiananmen Beijing dan Tembok Besar.
Meskipun wanita itu tidak boleh bercakap, dia sentiasa tersenyum sewaktu mereka melancong.
“Cinta tidak menunggu dan ketakwaan anak tidak pernah terlambat. Tindakan adalah jawapan terbaik.
“Ibu saya mendukung saya sejak kecil dan sekarang giliran saya menggendongnya,” kata Xiao Ma. – AGENSI