SEREMBAN – Seekor anak buaya ditemukan mati dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian di berdekatan Kampung Ismail, Jalan Jelebu-Seremban, di sini, semalam.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 11.50 pagi dan mendapati akibat dari kemalangan itu, kepala anak buaya telah pecah.
“Anak buaya tembaga sepanjang kira-kira semeter dengan berat dua ke tiga kilogram (kg) itu ditemukan mati di kawasan yang berdekatan dengan Sungai Linggi,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Faizal menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri.
Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan di nombor 1-800-88-5151 atau 011-6552 9681 atau di portal e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my. – https://amiminerals.org/