KULIM – Sebuah ambulans milik sebuah hospital swasta terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Lebuh Hi Tech, simpang tiga lampu isyarat pintu masuk ke Hospital Kulim, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.20 malam itu, ambulans terbabit tidak membawa pesakit dan hanya pemandu serta pembantu perubatan berada di dalam kenderaan jenis Weststar Maxus itu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, siasatan polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku sekitar pukul 8.20 malam ketika ambulans yang dipandu lelaki berusia 33 tahun itu dalam penugasan dari sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Pulau Pinang ke Hospital Kulim.
Katanya, apabila tiba di lampu isyarat simpang tiga Hospital Kulim, ambulans itu membelok masuk ke kanan untuk masuk ke hospital sambil bunyikan siren dan menyalakan lampu amaran ‘beacon’ yang ketika itu lampu isyarat berwarna merah.
“Secara tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun dari arah bertentangan dan melanggar di bahagian belakang sisi sebelah kiri ambulans terbabit.
“Akibat daripada kemalangan itu menyebabkan ambulans tersebut terbalik namun kedua-dua pemandu serta penumpang dalam dua kenderaan itu tidak mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.- https://amiminerals.org/