Ambil upah siang ikan sara 4 anak, ibu mentua

lead 6

ZURINA (kanan) ketika menyantuni Nor Aza di kediamannya dekat Kampung Senjana Mukim Titi Gajah di Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Seorang ibu tunggal terpaksa melakukan dua kerja demi menyara kehidupan empat anak termasuk seorang daripadanya autisme selain ibu mentua dan ibu saudara sejak dua tahun lalu.

Nor Aza Hamzah, 43, berkata, sejak kematian suaminya akibat kanser buah pinggang dua tahun lalu, dia menternak itik danmengambil upah menyara ikan keli dengan bayaran kira-kira RM100 seminggu.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukannya bagi membesarkan empat anak berusia antara 11 hingga 3 tahun selain menanggung kehidupan ibu mentua, Aishah Salleh, 75, serta ibu saudara yang mengalami masalah jiwa.

“Saya menternak itik dan menjual telurnya selain mengambil upah menyiang ikan keli. Dengan wang itulah saya menyara keluarga.

“Selepas kematian suami, saya tinggal bersama anak-anak di rumah ibu mentua dan menjaganya,”katanya semalam.

Kata Nor Aza, selain keperluan rumah, dia memerlukan bantuan membaiki kereta Perodua Kancil yang sering rosak dan beberapa kali tersadar di tengah
jalan.

Katanya, kereta berkenaan digunakan untuk mencari rezeki selain menghantar anak ke sekolah dan membawa ahli keluarga yang sakit ke hospital.

“Kalau hendak beli kereta lain walaupun yang terpakai, memang tak mampu kerana saya langsung tiada wang simpanan selepas suami meninggal dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, pihaknya membantu menyelesaikan hutang tertunggak sekolah agama dua anak Nor Aza di Kubang Pasu sebanyak RM3,000.

“Jika ada mana-mana pihak yang dapat membantu atau ingin menghadiahkannya sebuah kereta, kami sangat alu-alukan,”katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam milik Nor Aza bernombor 02039024571709.