SEBERANG PERAI – Berita kematian seorang imam di Surau Permatang Pak Elong, di sini ketika mengimamkan solat subuh semalam membuatkan ramai penduduk di kawasan itu turut berduka selain masih terkejut akan kehilangannya.
Ini kerana, Allahyarham Yakob Ramli, 56, sentiasa dijadikan tempat rujukan terutama dalam penganjuran program keagamaan dan guru al-Quran selain memiliki keperibadian yang baik membuatkan warga kariah terasa ketiadaannya.
Penduduk, M. Bakri Osman, 61, berkata, bacaan ayat suci yang dialunkan Allahyarham ketika mengimamkan solat amat merdu memandangkan dia seorang qari.
“Semasa hayatnya, Allahyarham amat menitikberatkan soal agama, malah aktif dalam program marhaban. Ibu bapanya dahulu juga merupakan guru mengaji al-Quran dan dia juga turut mengajar, malah arwah sentiasa dijadikan rujukan penduduk sekiranya terdapat kemusykilan sama ada dari segi pengajian al-Quran mahupun program-program keagamaan yang ingin dianjurkan di sini.
“Arwah orang yang baik dan setiap kali kami berjumpa, saya minta dia doakan saya. Malah setiap kali selesai imamkan solat, dia akan peluk semua makmum,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Allahyarham Yakob yang menjadi imam di surau kampung berkenaan sejak 15 tahun lalu dikatakan tidak bergerak ketika melakukan sujud sajadah yang dilaksanakan di surau berkenaan setiap Jumaat.
Tambah M. Bakri, dia dan jemaah lain kemudiannya terdengar bunyi nafas kuat daripada mikrofon yang dipakai arwah.
“Degupan jantungnya semakin kuat lalu kami membaringkannya dan meminta arwah mengucap. Kami membantu memberikan bantuan pernafasan sementara menantikan pasukan perubatan tiba, namun nadinya telah berhenti,” katanya.
Sementara itu, anak Allahyarham, Mohamad Shahril Yakob,33, berkata, arwah bapanya memang ada masalah kesihatan berkaitan jantung dan kencing manis. – https://amiminerals.org/