PETALING JAYA – Kes seorang pelanggan yang didakwa tidak membayar bagi pembelian 50 keping martabak di gerai Murtabak Manja di Bazar Ramadan Bandar Jerantut, Pahang telahpun selesai.
Pengusaha Murtabak Manja, Amizan Jorit ketika dihubungi Kosmo! berkata, wanita tersebut telah menyelesaikan bayaran berkenaan selepas ia tular di media sosial Facebook.
“Dah dapat, masuk dalam Facebook Jerantut Viral. Dia dah bayar, malam tadi dia bayar. Terima kasih lah,”katanya.
Perkara itu turut dimaklumkan seorang pemilik akaun Facebook Dik Yana menerusi hantaran dalam kumpulan Jerantut Viral, selepas beberapa jam dia memuat naik satu kiriman bagi mencari pelanggan tersebut.
“Alhamdulillah dah selesai kes martabak Abang Manja. Terima kasih atas keprihatinan semua,”katanya hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan, seorang peniaga Bazar Ramadan Bandar Jerantut, Pahang sedang mengesan seorang pelanggannya yang membeli 50 keping martabak di gerainya semalam, namun tiada transaksi pembayaran direkodkan di dalam sistem.
Dik Yana pada hantaran sebelum ini meminta pelanggan terbabit tampil menghubunginya atau terus ke gerai.
“Assalamualaikum. Maaf sebelum itu, saya nak cari kakak perempuan yang beli dengan Murtabak Manja 50 keping semalam 1 Ramadan.
“Berkenaan bayaran secara ‘transfer’, tak ada dalam sistem. Tapi kami cam muka kakak. Tolong ya kakak muncul kan diri. Hubungi saya atau ke Murtabak Manja,” katanya. – https://amiminerals.org/