Akauntan rugi RM240,467 terperdaya skim pelaburan tidak wujud

mangsa scammer

Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang akauntan yang bertindak nekad menggunakan duit syarikat dan wang simpanannya untuk melabur selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM240,467.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian di Kuantan itu bermula pada 26 Februari lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berumur 21 tahun melihat satu iklan pelaburan di aplikasi Instagram.

“Mangsa telah menekan satu pautan dan menerima satu pesanan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali memberitahu tentang skim pelaburan tersebut.

“Mangsa berasa berminat dan membuat pemindahan wang melalui perbankan dalam talian melalui bank milik syarikat dan akaun bank milik mangsa sebanyak 16 transaksi ke lapan akaun bank berbeza berjumlah RM240,467.61,”katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, mangsa berasa tertipu kerana tidak memperoleh sebarang pulangan lalu membuat laporan polis.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati wang yang digunakan adalah wang milik mangsa sendiri dan juga wang syarikat.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai juga dinasihatkan sekiranya menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,”ujarnya. – https://amiminerals.org/