GEORGE TOWN – Fenomena air pasang besar diramal berlaku di negeri ini bermula 18 sehingga 21 Oktober ini.
Susulan fenomena itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Datuk Mohd. Nazri Yasmin berkata, penduduk yang tinggal berhampiran pantai atau sungai utama dinasihatkan supaya berwaspada kerana risiko banjir sangat tinggi sekiranya hujan lebat berlaku sewaktu air pasang besar.
Menurut beliau, sekiranya hujan lebat berlaku ketika air pasang besar berserta ribut, air laut akan melimpah ke pantai dan paras air sungai utama akan naik dengan cepat dan membawa risiko banjir.
“Berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024, paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang mencecah 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) bermula 18 sehingga 21 Oktober ini.
“Waktu puncak air pasang besar dari tengah malam hingga awal pagi. Mengikut piawaian JPS Pulau Pinang, jika jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam, ia sangat lebat,” katanya di sini hari ini.
Di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2, JPS Pulau Pinang memasang stesen amaran banjir di kawasan hot spot sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.
Mohd. Nazri berkata, terdapat 54 alat siren amaran banjir di seluruh Pulau Pinang dengan 30 dipasang di bawah peruntukan kerajaan negeri, manakala 24 lagi di bawah PRAB oleh kerajaan Pusat.
Sebanyak 19 alat pemantau paras air sungai dipasang di bawah kerajaan negeri dan 30 di bawah PRAB menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 49 alat pemantau. – https://amiminerals.org/