JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat kini sedang menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri sejak 11 malam tadi.
Pembantu Peribadi beliau, Mohamad Nizam Junait memberitahu, Suhaizan mengalami demam dengan suhu badannya meningkat sebelum perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Malam tadi tahap oksigen dalam tubuhnya juga jatuh, menyebabkan beliau kini dirawat di ICU sejak 11 malam tadi.
“Keadaan beliau stabil dan semakin baik pagi ini namun masih ditempatkan di ICU untuk pemantauan rapi,”katanya ringkas ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Suhaizan menjadi Ahli Parlimen Pulai pada 9 September 2023 selepas memperoleh 48,283 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.-https://amiminerals.org/