Buat peminat dunia komik adiwira, dua drama atau siri yang sedang berlumba-lumba memenangi hati audiens sekarang adalah The Penguin dari universe DC Comics dan Agatha All Along (Marvel Comics).
Kedua-dua karya tersebut mempunyai tarikan dan kualiti tersendiri dan masing-masing mengetengahkan karakter villain iaitu Oz Cobb (The Penguin) dan Agatha Harkness (Agatha All Along).
Sementelah penulis sangat kagum dengan kemenjadian siri The Penguin (terutama episode keempat), Agatha All Along yang ditayangkan menerusi platform OTT, Disney+ Hotstar juga tidak kurang hebatnya.
Pertama sekali, pujian harus diberikan kepada teraju utama Agatha All Along iaitu Kathryn Hahn.
Terjemahan karakter
Secara peribadi, menonton Hahn memainkan karakter terbabit sedari WandaVision ibaratnya menonton kakak sendiri cemerlang melantunkan karakter ahli sihir kesayangan ramai itu dengan cemerlang.
Lontaran dialog, permainan emosi dan kelicikan Hahn sebagai Agatha membuktikan memang tiada pelakon lain layak diperanankan watak itu melainkan dirinya.
Keduanya, selain karakter Agatha, watak-watak penting lain seperti Billy Maximoff lakonan Joe Locke, Rio Vidal (Aubrey Plaza), Sharon Davis (Debra Jo Rupp) semuanya dibangunkan dengan saksama, sekali gus memberikan kesan mendalam buat penonton.
Ensemble untuk siri kali ini ibaratnya semua pelakon bekerja dalam satu kumpulan muzik atau kugiran dan masing-masing tahu tugas untuk dilunaskan demi kepuasan mereka yang melihat.
Hubung kait antara Agatha All Along dengan siri terdahulu iaitu WandaVision sangat jelas dan tidak perlu untuk terlalu berteka-teki, namun pada masa sama, ada ‘misteri’ yang perlu dirungkai atau dicantumkan sendiri penonton.
Bagaimana Witches’ Road dijadikan destinasi kemuncak Agatha dan rakan-rakan dan beberapa terma seperti Salem Seven dilazimkan buat mereka yang masih asing dengan perihal tersebut di skrin televisyen. Itu semua dalam Agatha All Along.
Olahan skrip
Bagi penulis, kisah yang hebat datang daripada olahan skrip yang baik. Untuk itu syabas buat individu di sebalik kemenjadian skrip Agatha All Along iaitu Jac Schaeffer.
Menerusi siri kali ini, penonton bukan sahaja dilazimkan dengan kisah Agatha semata-mata, bahkan kisah kesinambungan generasi masa depan Wanda Maximoff iaitu Billy yang kini perlahan-lahan menunjukkan ‘taringnya’ sebagai anak Scarlet Witch bernama Wiccan.
Masih jauh perjalanan Agatha All Along kerana siri ini diperbaharui episod baharu setiap minggu dan setakat tulisan ini dicetak masih di episod kelima.
Keseluruhannya, Agatha All Along merupakan satu lagi buah tangan hebat Marvel Comics yang ‘harapan’ buat Phase Five Marvel Cinematic Universe (MCU).
Kalau kalian ‘cintakan’ WandaVision, 99 peratus kebarangkalian siri terbaharu ini memberikan dampak sama.