JOHOR BAHRU – Hasrat seorang remaja perempuan, Nur Adriana Ibrahim, 18, untuk menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di negeri ini tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut di Lebuh Raya Kota Iskandar, di sini semalam.
Bapa mangsa, Ibrahim Isa, 49, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu sedang menunggu tawaran kedua daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu.
Dalam masa sama, katanya, anak perempuannya itu melakukan dua kerja termasuk bekerja sambilan di sebuah pusat membeli belah di Bandar Baru Uda, di sini bagi mengisi masa tersebut.
“Sebelum ini, Adriana telah membuat permohonan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan namun tidak berjaya, ketika ini dia sedang menunggu panggilan kedua untuk masuk UiTM.
“Selepas tamat persekolahan dia tidak berehat dan mahu bekerja bagi mendapatkan pengalaman. Dia amat berharap dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,”katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Danga di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu semalam, motosikal Yamaha Y15 ZR yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum bergesel dengan besi penghadang jalan menyebabkannya mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Nazaliza Jali, 48, berkata, dia sempat memeluk anaknya itu sebelum keluar bekerja.
“Ketika dia memeluk saya sebelum keluar bekerja, tiada sebarang perubahan pada dirinya namun saya berasa suatu yang berbeza dan mencium dia sepuasnya.
“Anak saya memang seorang yang murah hati dan suka belanja ahli keluarga, dia juga rajin bekerja dan merupakan anak yang baik hati,”ujarnya. – https://amiminerals.org/