PETALING JAYA – Adik kepada pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), Hadin Azman, iaitu Nur Khalisya dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat pada 25 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kali terakhir remaja berusia 16 tahun itu dikesan sekitar pukul 5 petang di kawasan Taman Permainan PPR Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur.
Katanya, ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 11.29 malam hari sama selepas anaknya tidak pulang ke rumah seperti biasa.
“Ibu mangsa memaklumkan telah menghantar anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Jalan Peel, pada hari berkenaan kira-kira pukul 7 pagi.
“Kemudiannya pada pukul 4 petang (ibu) telah datang semula ke sekolah untuk mengambil anaknya pulang kerana anaknya telah memaklumkan mempunyai kelas tarian.
“Tetapi setelah menunggu hampir 40 minit anaknya tidak ada dan pengawal keselamatan sekolah juga memaklumkan tiada pelajar berada di sekolah pada waktu itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, dalam hantaran di Instagram Ultrajangmag meminta agar orang ramai membantu mengesan adik Hadin Azman dilaporkan tidak pulang ke rumah.
“Kali terakhir beliau berpakaian t-shirt rumah sukan berwarna biru, berseluar slack hitam dan bertudung sekolah berwarna putih,” katanya dalam hantaran itu. – https://amiminerals.org/