KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan banyak van Thailand menyalahgunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) untuk mengambil dan menghantar pelancong di negara ini sejak 1 Januari lalu.
Perkara itu dikesan ketika Operasi Saman Tertunggak Kenderaan Pendaftaran Asing Thailand (Ops Tunggak) yang dijalankan serakat 24 Januari lalu di negeri bersempadan Thailand iaitu Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, menerusi operasi itu, pihaknya mendapati van Thailand memohon ICP, tetapi tidak mematuhi undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.
Katanya, ICP dikeluarkan kepada kenderaan Thailand untuk kegunaan persendirian di negara ini selama 90 hari, namun mereka mengambil pelancong atau penumpang di sini.
“Siasatan mendapati, kebanyakan pemandu dari Selatan Thailand menyalahgunakan permit itu dengan membawa penumpang semasa operasi dijalankan.
“Pemandu van Thailand juga didapati tidak hanya menunggu penumpang di kawasan pintu sempadan, sebaliknya bebas bergerak kerana sudah memiliki ICP.
“Berdasarkan siasatan, ada yang berperanan menghantar tukang masak Thailand untuk dibawa ke premis-premis makanan di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Setia Khas JPJ Negeri Kelantan di Panji di sini hari ini.
Aedy Fadly memberitahu, sepanjang 24 hari Ops Tunggak, pihaknya mengambil tindakan terhadap 172 kenderaan dan mengeluarkan 619 notis kepada pemilik dan pemandu Thailand yang melakukan kesalahan di bawah Akta JPJ.
Selain itu, sebanyak 16 van Thailand disita di Kelantan selepas didapati menyalahgunakan ICP selain kesalahan tiada lesen memandu dan cermin gelap.
“Kita mendapati pemandu van Thailand yang memasuki sempadan negara di Perlis paling banyak melakukan kesalahan ICP.
“Berdasarkan rekod, seorang pemandu van Thailand diberikan 85 saman bernilai RM25,200 atas pelbagai kesalahan termasuk tiada ICP sejak tiga tahun lalu. Pemandu sudah menjelaskan saman baru-baru ini sebelum kenderaannya bebas daripada sitaan.
“Sepanjang tempoh operasi itu, kita berjaya mengutip bayaran saman sebanyak RM425,104 dengan 332 saman tertunggak telah diselesaikan,” ujarnya. – https://amiminerals.org/