Abang, kakak angkut 17 beranak tidur, makan dekat rumah sepanjang cuti

CUTI SEKOLAH CUTI TULAR VIRAL

Luahan seorang wanita berhubung masalah dihadapinya setiap kali cuti sekolah.

PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa penat setiap kali musim cuti persekolahan apabila abang dan kakaknya akan ‘bercuti’ di rumahnya bersama seluruh ahli keluarga mereka.

Katanya, ia menjadi ‘rutin tahunan’ dua beradiknya itu sejak lebih lima tahun lalu sehingga dia tidak dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sendiri.

“Keluarga saya bahagia. Tapi setiap kali cuti sekolah kakak dan abang dari utara wajib datang duduk rumah saya bawa anak-anak mereka. Pendek kata, cuti sekolah kami tak boleh ke mana-mana.

“Anak kakak lapan orang. Anak abang lima orang. Anak saya dua orang. Cuti sekolah akan jadi 21 orang dalam rumah saya. Adik-beradik suami saya memang tak akan datang rumah saya masa cuti sekolah sebab mereka dah tahu ramai,” luahnya menerusi catatan di Facebook.

Apa yang lebih mencabar kata wanita itu. kunjungan mereka bukan sekadar semalam dua, tetapi lazimnya dari hari pertama cuti persekolahan sehingga ke hari terakhir.

“Saya okay saja kalau datang tiga empat hari, tapi mereka akan duduk sampai habis cuti. Bukan saya tak sayang mereka, tapi saya memang dah letih,” katanya.

Bercerita lanjut, wanita itu berkata, memandangkan minggu hadapan akan mula cuti sekolah dan bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidiladha, dia sudah pun menerima panggilan memaklumkan keluarga abang dan kakaknya akan datang seperti biasa.

Bagaimanapun, di ruangan komen ramai menasihati wanita itu agar berterus terang dengan abang serta kakaknya supaya dia mempunyai masa dengan kehidupan sendiri.

“Maklum kepada mereka, atau bagi alasan tertentu. Awak pun perlu ‘family time’, tak semestinya halang adik-beradik datang tanda kita tak suka mereka. Mental awak kena jaga,” pesan Saidah.

“Beritahu saja lah nak pergi bercuti. Minta mereka sewa homestay (inap desa). Jangan rumitkan benda mudah. Komunikasi paling penting,” kata Mi Querida Lee. – https://amiminerals.org/