ALOR SETAR – Tiada apa yang lebih menggembirakan buat seorang bekas banduan kes pembunuhan kerat lapan, Khairul Anuar Zakaria, 64, selain berpeluang berbakti kepada ibunya yang kini berusia 83 tahun dan semakin uzur.
Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai Abah Hayat bersyukur kerana ibunya masih ada ketika dia dibebaskan dari Penjara Pokok Sena, dekat sini pada 3 Oktober lalu atas kesalahan membunuh pada 4 Jun 2001, di sini.
“Sebahagian usia saya dihabiskan di penjara menyebabkan saya rasa terkilan kerana terlepas peluang untuk berada disamping ibu, namun Allah beri peluang kepada saya untuk jaga ibu,”katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Abah Hayat meringkuk di penjara selama 23 tahun empat bulan.
Katanya, dia masih ingat kejadian pilu ibunya yang menangis dan pengsan ketika hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya.
“Ibu menangis dan merayu-rayu supaya hakim ringankan hukuman, ibu bagaikan histeria. Hati saya runtun dan pilu bila terkenangkan detik itu.
“Semasa di penjara, saya tidak fikir diri saya sangat, saya hanya fikir mak kerana detik itu sangat meruntun hati saya,”ujarnya.
Menurutnya, ibunya ketika ini sukar berenggang dengannya dan sering menghubunginya jika tinggal berjauhan.
Abah Hayat berkata, dia ketika ini mahu membuka buku baharu dengan mahu berbakti kepada ibu serta isteri dan 10 anak.
“Alhamdulillah isteri dan anak-anak beri sokongan padu kepada saya, malah mereka adakan kenduri kesyukuran sehari selepas saya dibebaskan.
“Semua dah berlalu dan saya terima semuanya sebagai dugaan dan takdir Allah. Alhamdulillah saya dapat melalui pemenjaraan dengan baik dengan mendalami ilmu agama. Saya juga membantu banduan lain dengan mengajar mereka solat dengan sempurna serta memberi motivasi,”jelasnya.
Sementara itu, katanya, dia berhasrat untuk terus memberikan motivasi kepada bekas banduan yang pernah menjadi anak didiknya semasa di penjara sebelum ini.
“Ramai yang hubungi saya dan jika ada peluang, saya mahu bantu bekas-bekas banduan dengan memberikan motivasi kepada mereka. Saya tahu ramai yang terjebak semula dalam kegiatan tidak baik kerana pengaruh sekeliling,”tambahnya.
Akhbar pada 22 September 2008 melaporkan Khairul Anuar, seorang jurujual dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah membunuh seorang tukang besi, Chuah Leng Hai, 38, dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian.
Dua lagi tertuduh dalam kes itu, Ariffin Ahmad, 47, dan Muhammad Zaidi Salleh, 42, dibebaskan setelah didapati tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Datuk Kumbar, di sini antara pukul 5 pagi hingga 6.35 pagi, 4 Jun 2001.
Khairul Anuar kemudian mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018 dan status banduan akhir berubah kepada banduan hayat.
Seterusnya pada Februari 2024, kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Alor Setar semula kerana kerajaan telah memansuhkan hukuman hayat ke atas semua banduan di penjara dan hukumannya digantikan dengan hukuman penjara selama 35 tahun dari tarikh tangkap iaitu pada 2001. -https://amiminerals.org/