94 individu terima Darjah, Bintang Kebesaran Sultan Selangor

Sultan Selangor 768x431 1

Sultan Sharafuddin.

SHAH ALAM – Seramai 94 individu menerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun hari Keputeraan yang ke-79 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, sebanyak 2,593 pencalonan telah diterima secara keseluruhan bermula 4 Jun hingga 2 Ogos lalu.

Katanya, daripada jumlah tersebut didapati 1,121 borang permohonan bagi Darjah dan Bintang Kebesaran manakala 1,472 untuk pencalonan pingat-pingat negeri Selangor.

“Seramai 94 calon telah disenarai pendek oleh Jawatankuasa Khas dan telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan di-Raja pada 4 November lalu.

“Sultan Sharafuddin telah memperkenankan senarai pencalonan tersebut selepas baginda berunding dengan Dewan di-Raja,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Haris yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor memberitahu, seramai dua individu akan menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Dato’ Seri bagi lelaki dan Datin Paduka Seri bagi wanita.

Tambah beliau, hanya seorang akan menerima Darjah Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan gelaran Dato’ Setia atau Datin Paduka Setia.

“16 individu lain menerima masing-masing Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor dan Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membawa gelaran ‘Dato’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita,”katanya.

Mengulas lanjut, Haris menjelaskan, bagi Darjah dan Bintang Kebesaran yang tidak membawa gelaran masing-masing adalah Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (1), Setia Mahkota Selangor dan Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah masing-masing 11 individu, Ahli Mahkota Selangor (16), Ahli – Sultan Sharafuddin Idris Shah (17) dan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (2) dan Perkhidmatan Cemerlang (7).

“Semua calon yang disenarai pendek telah melalui tiga tapisan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),”tegasnya. -KOSMO!ONLINE