8,252 orang papa diselamatkan JKM sejak 2020

dr noraini ahmad letak jawatan 1

Noraini Ahmad.

KUALA LUMPUR – Seramai 8,252 orang papa (pengemis dan peleser) diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2020.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bilangan itu melibatkan 2,108 individu pada tahun 2020, 1,528 (2021), 1,280 (2022), 2,080 (2023) dan 1,256 (setakat Jun).

Menurut beliau, jumlah orang papa yang diselamatkan berdasarkan tiga jenis tindakan iaitu yang tiada pekerjaan, pendapatan rendah, masalah kemiskinan, tiada tempat tinggal, dibuang keluarga, celaru mental dan masalah kesihatan lain, penagih dadah, bekas banduan dan lain-lain.

“Berdasarkan rekod JKM, terdapat pelbagai kategori orang papa yang diambil antaranya warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) pemegang kad United Nation High Commission for Refugees (UNHCR) dan pesakit mental.

“Turut tersenarai pesakit berjangkit/ kronik, penagih dadah, ketagihan alkohol, bahan inhalan dan penagih dadah, dan mengutip derma tanpa kelulusan,”katanya.

Beliau berkata, orang papa ini akan dirujuk ke setiap agensi yang menguatkuasakan akta yang berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan sebagainya.

“Selain Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183], terdapat beberapa akta lain yang berkuatkuasa untuk menangani isu gelandangan yang terbabit dengan perkara-perkara yang disebutkan tadi seperti Akta
Imigresen 1959/1963 [Akta 155], Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615], Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Turut tersenarai, Minor Offences Act 1955 [Act 336], Akta Racun 1952 [Akta 366], Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283], Akta Kutipan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 [Akta 200], Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan pelarian dan Pemohon Suaka,”ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) mengenai usaha kerajaan dalam menangani isu gelandangan di negara, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, JKM hanya boleh bertindak ke atas mana-mana individu bergelandangan yang menepati tafsiran ‘orang papa’ mengikut bidang kuasa yang telah termaktub di bawah Akta 183 bagi menjaga kebajikan dan memulihkan orang papa tersebut.

Dalam pada itu buat masa ini katanya, KPWKM sedang meneliti hasil dapatan kajian yang akan diguna pakai sebagai asas kepada penstrukturan semula dan perincian mekanisme yang lebih holistik dalam pengendalian isu gelandangan dan pengemisan.

Selain itu, pihak kementerian juga sedang membuat tindakan persediaan untuk gerak kerja ke arah pengubalan rang undang-undang (RUU) berkaitan gelandangan dan pengemisan bagi memastikan isu gelandangan ini dapat ditangani lebih teratur.

“Secara dasarnya, hasil kajian ini meliputi cadangan-cadangan kepada Kerajaan mengenai kandungan, pendekatan serta skop rang undang-undang ke arah inisiatif pengendalian isu gelandangan dan
pengemisan secara menyeluruh, meliputi peranan agensi-agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kajian ini juga telah mengenal pasti peruntukan-peruntukan sedia ada di bawah Akta Orang-orang Papa 1977 yang tidak relevan dan memerlukan pendekatan baharu yang lebih praktikal dan bersesuaian dalam menangani isu gelandangan dan pengemisan. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *