SEREMBAN – Kira-kira 810,000 kenderaan dijangka keluar serta masuk pada waktu puncak ke negeri ini sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ia membabitkan pertambahan sebanyak 360,000 atau 76 peratus berbanding jumlah kenderaan pada hari biasa iaitu sebanyak 460,000 buah kenderaan.
“Semha pegawai dan anggota telah diarahkan untuk mempertingkatkan dan memperketatkan penguatkuasaan dan rondaan di 19 lokasi ‘hotspot’ yang dijangka mengalami kesesakan lalulintas.
“Manakala tiga lokasi ‘blackspot’ yang dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini iaitu di Kilometer (KM) 11 Jalan Seremban; KM 19-22 Jalan Seremban – Simpang Pertang dan KM 5 Jalan Bahau – Kemayan,”katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Iftar Ramadan sempena Hari Polis Ke- 218 2025 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Perkarangan IPK Negeri Sembilan, di sini, semalam.
Sementara itu, katanya, sempena Kempen Rumah Selamat yang bermula dari 24 Mac sehingga 6 April depan, seramai 206 orang pegawai dan anggota polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Negeri akan bertugas sepanjang tempoh tersebut.
“Orang ramai yang ingin meninggalkan rumah dinasihatkan mengambil inisiatif dengan mengisi maklumat balik kampung sebelum meninggalkan rumah masing-masing,”jelasnya.
Mengenai pengeluaran permit penjualan bunga api dan mercun bagi musim perayaan Aidilfitri ini, beliau berkata, polis telah mengeluarkan sebanyak 635 permit daripada 688 permohonan diterima. – https://amiminerals.org/