PETALING JAYA – Sebanyak 81 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Persetujuan (MoA) berjumlah RM7.2 bilion nilai dimeterai sepanjang 12 hari berlangsungnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 berakhir kelmarin.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, nilai itu termasuk pengesahan pendaftaran sejak MAHA dilangsungkan bermula pada 11 September lepas.
“Bang Mat (Mohamad) amat bersyukur dengan kehadiran pengunjung di MAHA 2024. Alhamdulillah 5,510,356 orang pengunjung hadir dengan nilai jualan sebanyak RM48,550,154.
“Tahniah dan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan pameran pertanian yang terulung dan tertua di rantau Asia Tenggara ini,”katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak RM1.38 bilion potensi pembelian serta RM1.6 juta nilai jualan cenderamata khas dicatatkan sepanjang penganjuran program sama.
MAHA 2024 membawakan tema ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’ sempena sambutan kali ke-100 tahun. Ia merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan lebih 2,000 ruang jualan. – https://amiminerals.org/.