Tourism Selangor dan kerajaan negeri menyasarkan pelancong bakal mencecah lapan juta orang bersempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025, sekali gus pelbagai usaha bakal digerakkan untuk mencapai misi tersebut.
Untuk itu, lebih 100 acara dan program telah dirangka di setiap daerah bersempena kempen TMS 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, pelbagai kempen akan ditawarkan sepanjang tahun hadapan dan Selangor bakal menjadi negeri tumpuan dalam kalangan pelancong sama ada domestik mahupun antarabangsa.
“Sokongan penuh daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta di Selangor mampu mencorakkan industri pelancongan di Malaysia.
“Ini sekali gus dapat mencapai sasaran kemasukan pelancong pada tahun depan dengan resit perbelanjaan pelancongan mencecah RM11.7 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program Selangor Travel Fair 2024 dan prapelancaran Kempen TMS 2025 di Sunway Pyramid, Petaling Jaya baru-baru ini.
Turut dilancarkan adalah logo baharu TMS 2025 dan lagu tema kempen iaitu Surpising Selangor yang disampaikan oleh penyanyi, Aizat Amdan .
Dalam masa sama, Selangor Travel Fair 2024 yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 1 November lalu bersempena Tahun Melawat Selangor 2025, turut melibatkan rakan kerjasama utama iaitu Journify oleh Malaysia Aviation Group.
Suee Lim berkata, program tersebut melibatkan promosi pelancongan domestik yang menawarkan pelbagai diskaun terbaik produk pelancongan khususnya persediaan untuk percutian akhir tahun.
“Pada kali ini, Tourism Selangor bekerjasama dengan pihak Journify, menawarkan pakej pelancongan bernilai lebih daripada RM200,000 sepanjang acara Selangor Travel Fair.
“Turut dimeriahkan penyertaan lebih 20 operator produk pelancongan, antaranya adalah Splash Mania Waterpark, Skyline Luge, Jumpstreet Malaysia, HL Dragon Fruit, Farm in the City, Eastin Hotel, Avani Goldcoast Resort Sepang, Eastin Hotel,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, sokongan daripada setiap operator produk pelancongan bagi acara itu memberi impak besar dalam misi untuk memperkenalkan kempen TMS 2025.
“Pelbagai diskaun dan pakej pelancongan daripada produk-produk operator terlibat ditawarkan kepada pengunjung dengan diskaun sehingga 50 peratus.
“Pengunjung juga berpeluang memenangi pakej pelancongan melalui cabutan bertuah, menyertai bengkel, menyaksikan persembahan kebudayaan dan persembahan daripada artis jemputan.
Acara Selangor Travel Fair 2024 yang turut mempamerkan warisan budaya, pengalaman dan tarikan baharu itu telah berjaya menarik 20,000 orang terdiri daripada pemain industri pelancongan serta orang awam. -https://amiminerals.org/