63 pasangan program Buai LPPKN berjaya hamil

WhatsApp Image 2025 05 31 at 15.13.47 1

Rosmonaliza (dua dari kiri) merasmikan sambutan Hari Ibu peringkat Terengganu di Kuala Dungun hari ini.

DUNGUN – Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Inferteliti (Buai) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mula menunjukkan hasilnya apabila 63 wanita yang menyertainya berjaya hamil.

Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN, Rosmonaliza Abdul Ghani berkata, setakat ini, program yang dilancarkan pada bulan Februari lalu tersebut telah berjaya menarik penyertaan 370 pasangan yang masih belum dikurniakan cahaya mata.

“Setakat ini 17 peratus daripada pasangan menyertainya telah disahkan hamil.

“Program Buai merupakan inisiatif LPPKN bagi membantu pasangan mendapatkan zuriat menerusi rawatan permanian beradas (IUI) secara percuma,”katanya selepas merasmikan sambutan Hari Ibu peringkat Terengganu di sini hari ini.

Rosmonaliza berkata, peruntukan RM6 juta disediakan melibatkan sasaran 1,300 pasangan sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, syarat kelayakan untuk menyertai program Buai ialah pendapatan pasangan maksimum RM10,000 sebulan, suami isteri yang sah dan pasangan wanita berusia 36 tahun ke bawah.

“Rawatan IUI tersebut dilakukan di cawangan Klinik Subfertiliti LPPKN yang terhadap di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Setiap sesi rawatan IUI pasangan peserta menelan belanja antara RM1,000 dan RM2,000,”katanya.

Rosmonaliza menyarankan mana-mana pasangan yang masih belum mendapat apa-apa tanda kehamilan selepas enam bulan berumah tangga agar membuat permohonan. – https://amiminerals.org/