JERANTUT – Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) berjaya menangkap 628 individu dengan 394 kertas siasatan dibuka melibatkan 470 orang tempatan dan 158 warga asing membabitkan nilai sitaan mencecah RM256.3 juta sejak 2019.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, setakat September lalu, sebanyak 240 kertas siasatan dibuka dengan nilai sitaan RM122.5 juta melibatkan 170 tangkapan termasuk 51 warga asing.
“OBK melibatkan usaha melindungi sumber nadir bumi (REE) dan galian. Kita berjaya menghalang cubaan melombong emas secara haram berhampiran Taman Negara Kelantan pada Jun lalu.
“Dalam operasi itu, tiga lelaki Mynmar, satu lelaki Thailand dan dua rakyat tempatan ditahan melibatkan rampasan jentera dan peralatan melombong bernilai RM700,000,”katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat OBK yang dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Ribuan Abdullah hari ini.
Menurut Abdul Kadir, OBK melibatkan kepakaran tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perhilitan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dilaksanakan sejak September 2019 sehingga 2023 terus mencatatkan kejayaan dalam membanteras jenayah alam sekitar di negara ini.
Beliau berkata, Wildlife Crime Bureau PDRM turut mematahkan cubaan menyeludup masuk anak buaya dan kura-kura eksotik bernilai RM1.8 juta melalui Lapangan Terbang Antarabngsa Kuala Lumpur (KLIA) pada September lalu.
JKDM pula merampas 14 buah kontena berisi kayu spesies dilindungi di Pelabuhan Klang, Selangor dengan nilai sitaan sebanyak RM73 juta baru-baru ini. – https://amiminerals.org/