KUBANG PASU – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melahirkan keyakinan sasaran kerajaan negeri untuk mencatat kemasukan pelancong sebanyak enam juta sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 tercapai.
Muhammad Sanusi berkata, TMK 2025 yang bermula hari ini menghimpunkan lebih 150 acara sepanjang tahun ini dalam usaha menarik pelancong domestik dan antarabangsa.
“Terdapat lebih kurang 150 acara yang disusun sepanjang tahun ini. Kita juga sudah mengeluarkan risalah atau senarai tempat menarik untuk dilawati di Kedah untuk diedarkan kepada pemain industri pelancongan di seluruh negara.
“Saya harap 2025 ini akan menjadi titik mula kepada kebanjiran pelancong untuk datang ke Kedah. Pelancong domestik atau pelancong antarabangsa. Saya difahamkan Batik Air pun telah memulakan operasi,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Sambutan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri juga akan memperkukuhkan hubungan diplomatik dengan Thailand dalam usaha menarik kemasukan lebih ramai pelancong dari negara gajah putih itu ke negeri ini.
“Kita akan tingkatkan lagi program program bekerjasama dengan Thailand khususnya dalam sektor industri makanan halal iaitu salah satu yang terbesar dan sedang berkembang sekarang ini,” katanya. – https://amiminerals.org/