6 jam atas bumbung sebab kepala air

lead

Penduduk melihat sisa kayu di Kampung Teluk Rambong, Baling semalam.

BALING – Dua beranak berdepan detik cemas sebelum diselamatkan selepas terperangkap di atas bumbung ketika hendak me­larikan diri daripada kepala air yang membadai Kampung Teluk Rambong di mukim Siong di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 9.30 malam itu mengakibatkan Rodiah Baharom, 56, dan anak lelaki orang kelainan upaya (OKU), berusia 30-an terperangkap dan hanya dapat diturunkan enam jam kemudian.

Ahli Jawatankuasa Masjid Tanjung Pari, Mohd. Hamdan Abdul Rahim, 49, berkata, kejadian berlaku ketika dia hendak mengambil anaknya balik me­ngaji dari rumah seorang guru al-Quran.

Katanya, ketika itu suami guru al-Quran nya yang dikenali sebagai Majid menyedari rumah jiran telah dinaiki air.

“Kami pergi bantu tetapi tidak dapat lakukan apa-apa kerana air sudah naik lebih satu meter. Kami terpaksa tunggu air surut sedikit dan turunkan dua beranak itu pada pukul 3 pagi.

“Saya pula hanya dapat pulang ke rumah pada pukul 7 pagi kerana jambatan runtuh. Banjir kali ini luar biasa yang membawa bersama sisa kayu dari atas bukit menyebabkan tiga jambatan kampung runtuh dan 10 rumah terjejas teruk,” katanya.

leadss
Siti Nor Aiza (kanan) menunjukkan barangan rumahnya yang terkena kepala air semalam.

Sementara itu, Siti Nor Aiza Salleh, 21, berkata, dia dan empat ahli keluarganya cemas apabila kampung dilanda kepala air.

“Air naik dengan pantas pada pukul 8 malam disebabkan Su­ngai Rambong melimpah. Kami tidak sempat selamatkan semua barang kerana arus deras,” katanya.

Menurut Siti Nor Aiza, dia kemudian mengajak dua anak dan ibu bapanya ke kawasan tinggi untuk menyelamatkan diri.

Tambahnya, dia hanya mampu melihat barangan elektrik termasuk kereta dan motosikal dihanyutkan arus.

Nur Atikah Mansor, 27, pula berkata, dia bersyukur apabila adik iparnya, Nasarudin Rushdi, 26, yang merupakan OKU berjaya diselamatkan selepas rumah mentuanya dinaiki air kira-kira pukul 9 malam.

“Ketika kejadian, saya tinggal di rumah nenek yang terletak se­lang dua buah rumah saja dengan rumah mentua, air naik terlalu cepat, tidak sampai 10 minit sudah hampir paras satu meter,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tanjung Pari.

Seorang lagi mangsa, Nor Erni Ilyana Mohd Mokhtar, 41, berkata, sehingga kini dia dan ahli keluarganya masih tidak dapat membersihkan rumah selepas bekalan air bukit terputus akibat banjir.

“Air masuk ke dalam rumah kira-kira 0.5 meter, kami ambil keputusan untuk berpindah ke PPS kerana bimbang keselamatan diri, kami hanya sempat selamatkan beberapa barang pen­ting sahaja,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *