KEMAMAN – Banjir yang melanda daerah ini berikutan hujan lebat berterusan lebih 14 jam telah menjejaskan kira-kira 5,000 penduduk.
Air mula melimpah ke beberapa penempatan penduduk seperti Perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong, Kampung Meraga Beris dan Kampung Labohan di sini dalam tempoh tiga jam bermula pukul 2 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, antara kawasan terjejas teruk ialah di Perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong melibatkan hampir 500 buah rumah penduduk.
“Setakat ini, kira-kira 5,000 penduduk terjejas telah berpindah dengan bantuan pasukan penyelamat ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau rumah saudara-mara.
“Bekalan tenaga elektrik di Perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong pula telah diputuskan buat sementara demi keselamatan,”katanya ketika ditemui di Teluk Kalong di sini hari ini.
Hanyan berkata, pasukan penyelamat kini dalam keadaan bersiap sedia memandangkan fenomena air pasang besar setinggi 3.6 meter dijangka berlaku di perairan Kemaman pada awal pagi ini. – https://amiminerals.org/