5 maut dalam berbilang insiden bunga api di Jerman

000 36RV92A

Serpihan bunga api yang telah dibakar bertaburan di hadapan sebuah kedai di daerah Weissensee, Berlin semalam. – AFP

BERLIN – Lima orang terbunuh, manakala berpuluh-puluh kakitangan kecemasan cedera apabila beberapa insiden melibatkan bunga api mencemari sambutan ambang tahun baharu di Jerman, lapor saluran berita CNN.

Antara yang terbunuh ialah dua orang di negeri Saxony, lapor penyiar tempatan, MDR. Ia termasuk seorang lelaki berusia 45 tahun yang terbunuh selepas mengendalikan apa yang disifatkan sebagai ‘bom bunga api’.

Anggota bomba dan kakitangan perkhidmatan kecemasan lain turut menjadi sasaran bunga api semasa perayaan semalaman pada kelmarin hingga semalam, kata pihak berkuasa.

Di ibu negara, Berlin, anggota bomba bertindak balas terhadap 1,892 insiden pada malam tahun baharu, 294 lebih  banyak berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut kenyataan jabatan bomba bandar itu. 

“Sekurang-kurangnya 13 serangan ke atas pekerja kecemasan dilaporkan,” kata kenyataan itu.

Menurut jurucakap polis Berlin, Florian Nath, 330 orang telah ditahan di ibu negara pada malam tahun baharu. 

Katanya, seorang pegawai polis cedera parah, berkemungkinan akibat terkena bunga api yang dinyalakan secara haram. Dia dilaporkan menjalani pembedahan di hospital.

“Beberapa orang yang berdiri di sekitar tempat kejadian menyerang pegawai polis dan ia adalah salah satu kejadian terburuk malam ini,” tambahnya.

Sementara itu, Jabatan Bomba Munich berkata, bunga api turut mencetuskan kebakaran pada balkoni besar di tingkat satu sebuah bangunan pangsapuri. 

Kebakaran kemudian merebak ke sebuah apartmen di tingkat dua, demikian menurut kenyataan jabatan tersebut. – AGENSI