KULAI – Kira-kira 40 individu dipercayai menjadi mangsa penyebaran gambar lucah palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi ‘deepfake’, membabitkan sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching selepas menerima aduan daripada seorang alumni sekolah berkenaan yang menghubungi pejabatnya diikuti seorang lagi ahli keluarga kepada mangsa lain.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, mangsa terdiri daripada bekas pelajar serta pelajar sekolah berkenaan termasuk ada dalam kalangan mangsa berusia 14 tahun.
“Kami dimaklumkan terdapat beberapa kumpulan di media sosial yang menyebarkan gambar-gambar yang telah dimanipulasi secara digital. Kemungkinan masih ada mangsa yang belum menyedari bahawa gambar mereka telah digunakan dan disebarkan tanpa kebenaran.
“Seramai tujuh orang mangsa telah dibantu pegawai dari pejabat beliau untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan menyunting gambar lucah menggunakan wajah mangsa dan mengedarkannya di media sosial untuk dijual kepada orang awam.
Katanya, suspek berusia 16 tahun itu ditahan reman sejak semalam sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut dijalankan.-https://amiminerals.org/