KUANTAN – Kerajaan negeri sentiasa memantau kewujudan dan mengenal pasti terdapat sebanyak 34 ajaran sesat di Pahang setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pemantauan dan penguatkuasaan terus dilakukan bagi memastikan ajaran tersebut tidak terus disebarkan.
“Kita akan buat pemulihan, setiap individu yang disiasat terlibat dalam ajaran sesat memang kita akan kaunseling, beri amaran dan teguran supaya balik ke pangkal jalan,”katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Cheka) mengenai jumlah ajaran sesat di Pahang pada Mesyuarat ke-3 Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini
Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Rosli Jabar (Pas-Tanjung Lumpur) mengenai perkembangan GISB Holdings, beliau berkata, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 2 Oktober lalu memutuskan pengikut GISB adalah menyeleweng dan sesat.
Katanya, ini kerana mereka meneruskan kepercayaan dan amalan dalam Aurad Muhammadiah yang dibawa oleh al-Arqam yang telah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.
“Mereka juga mempercayai bahawa Ashaari bin Muhammad yang telah meninggal dunia pada 2010 tidak mati sebaliknya ghaib.
“Sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH juga tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak,”ujarnya. – https://amiminerals.org/