KUALA LUMPUR – Seramai 33 remaja lelaki yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan pagi tadi, bukan sahaja dibawa ke balai polis untuk proses dokumentasi, malah dibawa ke surau untuk mendengar tazkirah selepas solat subuh.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menahan seorang remaja berusia 17 tahun serta telah membawa balik 32 remaja bagi tujuan dokumentasi atas pelbagai kesalahan.
Katanya, kesemua individu tersebut dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee bagi proses dokumentasi.
“Selesai dokumentasi, mereka turut didedahkan dengan motivasi, solat subuh berjemaah dan dilanjutkan dengan tazkirah ringkas di Surau An Nazahah, JSPT KL.
“Program yang bersifat keagamaan dan ilmiah ini, diharap akan memberikan kesedaran kepada pesalah-pesalah Mat Rempit yang ditahan sekitar Jalan Tun Razak, awal pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pengisian program seperti solat subuh berjemaah dan tazkirah yang memberi fokus kearah kesedaran tentang keburukan merempit dan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain telah disampaikan oleh Inspektor Zambri dari Unit Penguatkuasa JSPT KL.
“Selain itu, mereka juga telah ditunjuk ajar dengan beberapa perkara seperti cara-cara yang betul dalam mengambil air sembahyang, laungan azan serta iqamat dan kaedah menyampaikan tazkirah secara ringkas.
“Pendekatan secara keagamaan dan ilmiah kepada remaja diharapkan dapat membantu remaja warisan negara ini untuk menunjukkan akhlak mulia kepada masyarakat,” jelasnya.
Di samping itu, beliau juga menasihati ibu bapa agar lebih perihatin dalam mendidik anak-anak dan menjadikan mereka rakan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang mereka hadapi.
“Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan fokus mereka terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang jenayah atau lalu lintas,” pesannya.
Mengulas lanjut mengenai operasi awal pagi tadi, beliau berkata, sebanyak 157 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran, motosikal diubah suai dan lain-lain. – https://amiminerals.org/