300kg syabu ditinggalkan dalam bot di Sungai Ayam

syabu dadah rampasan

KAMA AZRI (tengah) menunjukkan sebahagian dadah dipercayai jenis Methampetamin yang berjaya dirampas di perairan Sungai Ayam di Batu Pahat, Jumaat lalu.

BATU PAHAT – Sejumlah 300 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis Methamphetamine dianggarkan bernilai RM10 juta berjaya dirampas di perairan Sungai Ayam di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, rampasan dilakukan kira-kira pukul 1 pagi selepas menerima maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan sebuah bot asing di kawasan terbabit.

Katanya, susulan maklumat itu, sebuah bot ronda APMM diatur gerak ke lokasi dilaporkan iaitu kira-kira 0.8 batu nautika daripada Zon Maritim Batu Pahat.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, dipercayai dua suspek yang berada di dalam bot gentian kaca telah memecut laju ke kawasan cetek sebelum terjun untuk melarikan diri ke arah hutan paya bakau.

“Hasil pemeriksaan menemui 12 guni berwarna putih dan kuning mengandungi bungkusan plastik berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine (syabu),” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Zon Maritim Batu Pahat di sini hari ini.

Menurutnya, setiap guni dianggarkan seberat 25kg dengan jumlah keseluruhan rampasan mencecah 300kg bernilai kira-kira RM10 juta yang boleh menampung kegunaan hampir sejuta penagih dadah. – https://amiminerals.org/