KOTA BHARU – Adik kepada arwah Nurul Ain Abdul Rahim, 39, yang maut bersama anak dan menantu dalam kemalangan di Kilometer 104, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Sungai Sam, Kuala Krai semalam bergegas meninggalkan majlis perkahwinannya selepas akad nikah untuk membantu menguruskan jenazah kakaknya.
Muhd. Syafiq Abdul Rahim, 24, berkata, dia terus bergerak pulang ke kampungnya di Kampung Kayu Rendang, Melor di sini dari Kampung Bechah Pisang, Besut di Terengganu selepas selesai majlis akad nikah kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Katanya, dia pada awalnya berhasrat untuk membatalkan majlis akad nikahnya kerana tidak sanggup meninggalkan keluarga yang masih bersedih dengan kehilangan kakak sulung.
“Atas nasihat rakan-rakan yang memberi kata-kata semangat, saya pergi juga ke majlis akad nikah di Besut. Seramai 10 orang rakan-rakan turut hadir pada majlis akad nikah itu. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Muhd. Syafiq memberitahu, dia sempat membantu mengurus jenazah kakaknya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu Merah, Melor di sini hari ini. – https://amiminerals.org/