28 peserta berentap rebut gelaran Bintang Asli

lead 12

MOHAMAD RAIZULI (lima dari kiri) bersama sebahagian peserta yang menyertai Pertandingan Bintang Remaja Asli 2024 di Auditorium Kompleks JKKN Pahang, Kuantan kelmarin.

KUANTAN – Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2024 mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 28 peserta daripada 14 negeri sekali gus menjadi penanda aras terbaik dalam memartabatkan keunikan lagu Melayu Asli di ­negara ini.

Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohamad Raizuli Mat Jusoh berkata, program sejak 1996 itu menjadi platform terbaik mencungkil bakat baharu dan menarik minat golongan muda terhadap lagu-lagu Melayu Asli.

“Pertandingan bintang asli peringkat kebangsaan ini me­ngangkat muzik asli itu sendiri yang mempunyai keindahan bahasa dan ketinggian nilai budi dalam lagu tersebut.

“Sehubungan itu, saya berharap pertandingan dapat melahirkan lebih ramai penyanyi-penyanyi berbakat dalam bidang nyanyian lagu asli ini,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Menurut Mohamad Raizuli, pertandingan bintang asli berkenaan mempertaruhkan 28 peserta terbaik yang terpilih daripada 297 orang yang menyertai sari­ngan di seluruh negara bermula April hingga September lalu.

Katanya, pertandingan itu khusus buat mereka yang berusia 15 hingga 25 tahun.

Ujarnya, johan akan menerima wang tunai berjumlah RM5,000, naib johan (RM4,000) dan tempat ketiga (RM3,000) selain sagu hati sehingga tempat keenam sebanyak RM1,500. Bagi anugerah khas masing-masing membawa pulang RM1,000 selain piala dan sijil.

“Uniknya untuk kali ini, lagu yang akan dipersembahkan oleh peserta dipilih oleh jurulatih mereka berdasarkan kesesuaian suara. Setiap seorang akan mendapat satu lagu wajib dan dua lagu pilihan terdiri joget, inang, zapin dan irama asli.

“Peserta ini kalau kita tengok dari segi kualiti, tahap keyakinan mereka cukup tinggi dan mereka ini juga diadili juri cukup berbakat dan berkualiti yang pernah memenangi pertandingan peringkat kebangsaan dan mempunyai pendidikan vokal,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata, pihaknya akan terus memperkasakan program Bintang Asli Remaja bagi memastikan khazanah warisan negara terus terpelihara dan sentiasa relevan mengikut peredaran ­zaman.