28 PATI kena cekup di Gua Musang

WhatsApp Image 2024 11 15 at 9.43.13 AM

Sebahagian PATI yang ditahan dalam serbuan JIM Kelantan di tiga buah kampung di Gua Musang semalam. FOTO IHSAN JIM KELANTAN

GUA MUSANG – Seramai 28 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam serbuan menerusi Ops Kutip/Sapu yang dijalankan di beberapa buah premis di tiga buah kampung di daerah ini.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 2 petang kelmarin hingga semalam itu menahan warga asing lelaki melibatkan 18 orang warganegara Indonesia, tujuh warga Bangladesh, dan tiga lelaki Myanmar.

Menurutnya, kesemua PATI yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 50 tahun itu diberkas di Kampung Jerek, Ladang Pos Blau dan Kampung Meranto di sini.

“Warga asing yang ditahan itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada pas atau permit yang sah dan Seksyen 15 (1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi masa.

“Kesemua warga asing dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Akhtarulhaq memberitahu, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang mendalangi dan bersubahat dalam melindungi PATI. – https://amiminerals.org/