PETALING JAYA – Taktik licik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba menyelinap masuk ke negara ini ketika aliran pelawat tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam berjaya digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Menerusi satu kenyataan AKPS berkata, kesemua PATI yang terdiri dari warga Bangladesh, Pakistan dan India itu didapati tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini dan mereka kemudiannya diarah pulang ke negara masing-masing.
Jelas kenyataan itu, jumlah terbabit merupakan rekod harian tertinggi bagi kes Not-To-Land (NTL) sejak penubuhan Pasukan Pemantau KLIA pada tahun 2023.
“Trend kemasukan warganegara asing secara tidak sah ini dilihat semakin meningkat, khususnya ketika waktu kemuncak ketibaan dan musim cuti umum di Malaysia.
“Keadaan kesesakan dan aliran pelawat yang tinggi sering dimanipulasi oleh segelintir individu untuk menyelinap masuk dengan menyalahgunakan kemudahan kemasukan,”kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, AKPS berkata, langkah pengusiran itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AKPS dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan.
Sekali gus katanya, ia memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan memenuhi semua syarat sahaja dibenarkan memasuki negara ini.
“Semua individu terbabit telah diarahkan pulang ke negara asal masing-masing serta-merta, selepas proses dokumentasi dan semakan lanjut dijalankan oleh pegawai AKPS,”ujar kenyataan itu.- https://amiminerals.org/