27 kes peguam pecah dilaporkan – Ramli

WhatsApp Image 2024 08 13 at 17.15.12 1

Ramli berkata, sebanyak 27 kes babit peguam pecah amanah dicatatkan setakat Julai lalu. FOTO oleh ILHAM ZAKARIA

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menjangkakan kes pecah amanah babit peguam akan terus meningkat.

Katanya, sepanjang tahun 2022, sejumlah 29 kes pecah amanah jenayah oleh peguam disiasat melibatkan lebih RM13.01 juta manakala tahun 2023, kes direkodkan sebanyak 31 kes babit RM33.34 juta.

“Bagi tahun 2024, sehingga Julai lalu, sejumlah 27 kes telah dicatatkan dengan nilai kerugian RM20.37 juta.

“Dijangka, jumlah kes ini akan terus meningkat. Justeru, mana-mana pihak yang berurusan dengan pihak peguam khususnya melibatkan wang dalam amaun yang besar disarankan untuk sentiasa menyemak keberadaan wang tersebut agar kes-kes sebegini dapat dielakkan,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Dalam perkembangan terbaharu, pihaknya sedang menyiasat dua firma guaman yang disyaki menyeleweng dana milik klien hampir RM1 juta.

Di Selangor, pesara lelaki berusia 72 tahun membuat laporan polis terhadap firma guaman yang berpangkalan di Kuala Lumpur pada 8 Ogos, mendakwa firma itu gagal memindahkan RM140,000 daripada penjualan tanahnya di Batu Pahat, Johor, sejak Jun lalu.

“Mangsa telah melantik firma itu sejak November tahun lepas untuk menguruskan perjanjian tanah itu.Bulan lepas, firma itu menghantar cek kepada pengadu sebanyak dua kali, tetapi kedua-dua cek itu ditolak bank,” ujarnya.

Selain itu, seorang lelaki berusia 51 tahun memfailkan laporan terhadap firma guaman pada 6 Ogos, mendakwa firma itu telah menggelapkan dananya sebanyak RM833,473.75.

Ramli berkata pengadu yang juga seorang perunding hartanah, telah melantik firma itu sebagai pihak berkepentingan untuk menguruskan yuran perkhidmatan bagi pihak pengadu.

Malangnya, pada 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menyiasat pengadu dan dia kemudiannya didakwa di mahkamah hingga menyebabkan akaun banknya dibekukan. -Iteenews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *