BANDAR BAHARU – Fenomena cuaca panas yang melanda daerah ini telah menambah pendapatan dalam kalangan penjaja air apabila jualan minuman mereka meningkat sejak dua hari lalu.
Menurut peniaga restoran di Taman Cempaka di Selama, Zuhana Mat Zin, 41, jualan minuman berais meningkat berbanding hari biasa sejak cuaca panas melanda daerah tersebut.
“Kebiasaannya saya menggunakan kira-kira 13 atau 14 beg ais, namun sejak dua hari lalu permintaan minuman sejuk meningkat menyebabkan saya terpaksa menambah ais kepada 16 beg sehari.
“Setiap hari pada waktu pagi iaitu pada pukul 7 dan 10 pagi, lori ais akan menghantar kira-kira lima beg ais dan pada tengah hari jumlahnya bertambah kira-kira tujuh atau lapan beg ais lagi,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Bagaimanapun, katanya, keadaan cuaca panas berpanjangan dikhuatiri menyebabkan berlakunya masalah bekalan air.
“Dalam keadaan cuaca panas, ditambah dengan ketiadaan air atau air bertekanan rendah, ia amat menyukarkan kehidupan harian kami. Jika tiada air, kedai terpaksa tutup awal kerana hanya bergantung pada air dari tangki simpanan sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Norfahrin Aziq Noraihimi, 18, yang menjaja air di Dataran Seri Serdang, di sini berkata, enam tong air yang terdiri daripada air asam boi, milo, epal, jagung, cendol dan lemon pudina sentiasa habis awal berbanding sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya dapat menjual hampir 200 gelas air sehari berbanding kebiasaan yang hanya 100 gelas. Cuaca panas ini menyebabkan orang ramai lebih memilih air yang berais untuk menghilangkan dahaga berbanding air suam,” jelasnya
Menurut Norfahrin Aziq, dia bekerja membantu perniagaan rakannya dan memulakan perniagaan kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, setiap hari lori ais akan datang dan menuangkan ais ke dalam balang-balang air yang ada di atas meja dan ais akan cepat cair sekiranya keadaan cuaca panas terik.