MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka merekodkan sebanyak 20 kes keracunan makanan membabitkan pelajar di lapan buah sekolah sejak Januari sehingga November tahun ini.
Pengarah JKN Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, susulan kejadian itu empat buah kantin turut diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari selepas dikesan kotor dengan terdapat urungan najis tikus dan lipas.
“Kes keracunan ini direkodkan di sekolah di ketiga-tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah dan sebanyak empat buah kantin diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Punca keracunan adalah kerana tahap kebersihan yang rendah sama ada akibat pencemaran silang apabila makanan sudah dimasak dicemari makanan mentah atau semasa penyimpanan,”katanya selepas Majlis Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) bersama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, JKNM di Makan Avenue, Kampung Hulu di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga 23 November lalu pihak JKN juga telah memeriksa 5,841 premis makanan bagi memastikan pengusaha mematuhi tahap kebersihan ditetapkan.
“Daripada pemeriksaan itu, kita telah mengeluarkan sebanyak 1,933 notis kesalahan kebersihan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan jumlah keseluruhan kompaun RM320,900. – https://amiminerals.org/