SHAH ALAM – Tumpahan minyak kelapa sawit akibat lori tangki terbalik di Kilometer 27.9 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) telah menjejaskan bekalan air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak selama 16 jam.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, bekalan itu terjejas bermula pukul 2 pagi hingga 6 petang semalam.
Katanya, tumpahan minyak daripada kenderaan terlibat masuk ke dalam longkang berhampiran dengan jumlah anggaran sebanyak 20 tan dan sepanjang 150 meter.
“Semakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga mendapati terdapat limpahan tumpahan tersebut yang terkumpul di kebuk takungan (sump) lebuh raya mengalir ke anak Sungai Gombak.
“Kesan daripada limpahan tersebut turut menjejaskan bekalan air mentah kepada LRA Sungai Gombak bermula pada pukul 2 pagi sehingga jam 6 petang semalam,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan beberapa individu yang tinggal di sekitar Gombak mendakwa kawasan perumahan mereka terputus bekalan susulan insiden lori tangki terbalik itu.
Menerusi semakan Kosmo! di media sosial, seorang pengguna TikTok, Pak Long Ai memaklumkan kesan kemalangan tersebut telah menyebabkan kawasan sungai berdekatan lokasi kemalangan terjejas.
Dalam pada itu, Jamaliah memaklumkan kerja-kerja pembersihan telah mencapai tahap 60 peratus sehingga jam 10.30 pagi ini dan terus dilaksanakan sehingga selesai sepenuhnya yang dijangkakan sehingga lewat petang hari ini.
“(Ini) susulan sisa minyak yang telah membeku dan tebal serta memerlukan kerja-kerja menyodok keluar sisa,”jelasnya. – https://amiminerals.org/