KLUANG – Sebanyak 15,000 ekor ayam habis dijual dalam tempoh 45 minit sempena Jualan Kasih Johor Jelajah Orang Mahkota di Taman Makmur di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip yang turut serta bersama peniaga tidak menang tangan melayani pelanggan yang menyerbu pusat jualan tersebut sebaik dibuka pada pukul 8 pagi.
Menurut Zahari, selain ayam, ikan dan hasilan laut berjumlah 30 tan yang dijual pada harga promosi turut ‘licin’ dalam masa sejam.
Katanya, sebanyak 6,000 papan telur ayam dijual pada harga RM8 sepapan, manakala 5,000 botol minyak masak pula dijual pada harga RM10 sebotol.
“Jualan beras antara yang paling laris. Sebanyak 1,500 kampit beras berjaya dijual mengikut harga kawalan iaitu RM26 sekampit (10 kilogram).
“FAMA juga mempromosikan Jualan Agro Madani (JAM) melibatkan komoditi sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit pada harga promosi sekali gus menjimatkan pengunjung,”katanya kepada pemberita di sini hari ini. – https://amiminerals.org/