PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri (KLN), melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, sedang melaksanakan proses evakuasi 15 lagi rakyat Malaysia di Lebanon ekoran serangan berterusan rejim Zionis Israel ke atas negara itu.
KLN dalam kenyataan berkata, proses evakuasi mereka itu bersama tiga warganegara asing, iaitu pasangan kepada rakyat Malaysia yang masih berada di sana.
Namun katanya, empat rakyat Malaysia memilih untuk terus kekal di Lebanon, manakala empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi.
“Berikutan situasi yang semakin meruncing, sembilan rakyat Malaysia telah pun meninggalkan Lebanon secara sukarela (sebelum ini),” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat terhadap Lebanon.
Jelasnya, kekejaman rejim Zionis Israel ini secara jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah Lebanon.
“Malaysia bersolidariti bersama Lebanon dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim Zionis Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di sana.
“Ia adalah penting bagi semua pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau tersebut,” ujarnya. – https://amiminerals.org/