BATANG KALI – Seramai 140 warga Madrasatul Quran Wasunnah di sini memperoleh manfaat daripada sumbangan perabot dan wang tunai oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pegawai Tadbir dan Pembangunan Madrasatul Quran Wasunnah, Zulkifli Arshad berkata, mereka yang menerima manfaat termasuk seramai 125 pelajar tahfiz berusia antara lapan hingga 18 tahun di madrasah tersebut.
Beliau menjelaskan, selebihnya adalah tenaga pengajar dan kakitangan Madrasatul Quran Wasunnah yang turut mendapat manfaat daripada sumbangan
berkenaan.
“Sebelum ini pun PKNS pernah memberi sumbangan berupa lima unit penghawa dingin kepada Madrasatul Quran Wasunnah.
“Alhamdulillah, sumbangan ini banyak membantu. Madrasah ini berasaskan infaq dan tiada yuran dikenakan ke atas pelajar, jadi sumbangan ini sangat membantu.
“Perbelanjaan kami meningkat selepas pelajar semakin bertambah, maka kami memang mengharapkan bantuan-bantuan seperti ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Zulkifli menerangkan, kos operasi Madrasatul Quran Wasunnah kira-kira RM30,000 sebulan merangkumi kos makanan dan minuman, gaji kakitangan dan tenaga pengajar, utiliti serta kos penyelenggaraan.
Menurut beliau, jumlah infaq yang diterima kadangkala tidak mencukupi untuk menampung kos berkenaan, maka sumbangan daripada mana-mana pihak termasuk PKNS amat dialu-alukan.
Selain itu, jelasnya, Madrasatul Quran Wasunnah sedang berusaha membina sebuah lagi bangunan asrama tiga tingkat yang dianggarkan menelan belanja RM3.7 juta.
“Ketika ini cuma ada satu asrama dua tingkat yang tidak muat untuk kesemua pelajar menyebabkan ada antara mereka yang terpaksa tidur di tingkat atas surau di sini.
“Pembinaan asrama baharu ini dilakukan secara berperingkat berdasarkan sumbangan atau infaq yang diterima,” ujarnya.
Mereka yang berminat untuk membantu, boleh menyumbang ke akaun Agrobank 1005481000076234 (operasi madrasah) dan akaun Maybank 562076506155 (pembangunan madrasah) atas nama Madrasatul Quran Wasunnah. -https://amiminerals.org/