12 pelajar tahfiz terselamat dalam kebakaran

WhatsApp Image 2025 03 06 at 9.55.18 AM

ANGGOTA Pasukan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran di sebuah pusat tahfiz di Kampung Chokro, Simpang Renggam, Kluang, hari ini

KLUANG – Kira-kira 12 pelajar sebuah pusat tahfiz di Kampung Chokro di Simpang Renggam di sini terselamat selepas berjaya keluar menyelamatkan diri dari sebuah rumah yang terbakar awal pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Nizar Ma’mun berkata, pelajar berkenaan menyedari kebakaran tersebut yang berlaku pada pukul 1.21 pagi.

Katanya, susulan daripada kejadian itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Ayer Hitam serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Renggam dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan operasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat yang dijadikan pusat pengajian tahfiz, berukuran 70 x 50 kaki dan berstruktur separuh kekal.

“Anggota kemudiannya menjalankan operasi pemadaman dan terpaksa mendapatkan bekalan air daripada pili bomba sejauh dua kilometer secara ulang-alik sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,”katanya melalui kenyataan hari ini.

Katanya, kebakaran itu telah memusnahkan 70 peratus bangunan pusat tahfiz tersebut manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.-https://amiminerals.org/